Thursday, August 1, 2013

Sumbangan utama tamadun Mesir Purba kepada ketamadunan manusia adalah dalam seni bina, iaitu piramid. Pembinaan piramid bermula daripada ilham Imhotep, iaitu saintis, ahli fizik, arkitek, dan penasihat penting kepada Firaun Djoser (3150 S.M.). Beliau telah memperkenalkan teknik pembinaan bangunan dengan menggunakan batu bata. Beliau juga merupakan pengamal ilmu perubatan dan pengarang buku sains dan sastera. Pembinaan piramid menggambarkan kreativiti masyarakat Mesir Purba dalam bidang pembinaan. Sehingga hari ini kejayaan mereka masih dikagumi. 

Pencapaian Mesir Purba memang terserlah dalam pembinaan tetapi yang lebih utama lagi ialah kemajuan pendidikan serta penggunaan kertas. Pencapaian ini merupakan hasil kepandaian orang Mesir Purba mencipta kertas daripada pokok papyrus yang banyak hidup di Lembah Nil. Penciptaan kertas telah memudahkan penyimpanan dan meninggalkan kebergantungan pada kepingan batu bata untuk menyimpan segala khazanah bangsa. 

Tinggalan tamadun Mesir Purba kepada dunia kini adalah dalam bentuk rekod yang tertulis dan terpahat dalam sistem tulisannya, iaitu hieroglif. Keagungan tamadun Mesir Purba dapat dibaca daripada tulisan yang terpahat dengan begitu cantik, halus dan penuh seni pada makam dan batu.


Kerajaan Mesir Purba telah mewujudkan sistem pendidikan untuk kanak-kanak daripada keluarga atasan kanak-kanak daripada keluarga atasan. Mereka diberikan pendidikan sejak dan umur yang rendah. Institusi pendidikan ini diuruskan oleh rumah ibadat dan diletakkan di bawah pentadbiran kerajaan. Penekanan terhadap pendidikan bertujuan untuk melahirkan para pegawai kerajaan terutamanya jurutulis yang sempurna dan terlatih. Ilmu geometri, matematik, dan sains diajar bagi melahirkan golongan terlatih yang boleh menguruskan hal ehwal pertanian, pengawalan air Sungai Nil serta pembinaan bangunan dan piramid. 

Mesir Purba yang maju dalam ilmu perubatan. Mereka ini mendapat statud yang tinggi dalam perubatan. Mereka ini mendapat status yang tinggi dalam masyarakat Mesir Purba dan berkhidmat untuk firaun dan juga masyarakat. Kemajuan bidang perubatan terutamanya proses memumiakan mayat berkait rapat dengan kepercayaan orang Mesir Purba. Tahap keilmuan dan kemahiran terutamanya dalam bidang fizik, kimia, perubatan, dan pembedahan memberikan sumbangan besar kepada perkembangan ilmu hingga ke hari ini.

Keagungan tamadun Mesir Purba jelas bergantung pada pengawalan aliran air Sungai Nil yang menjadi nadi kepada tamadun Mesir Purba. Perkembangan ilmu matematik seperti algebra, geometri, dan astronomi telah digunakan sepenuhnya dalam usaha orang Mesir Purba mengawal banjir Sungai Nil yang berlaku sekali dalam setahun. Pemerintahan Mesir Purba telah berjaya mencipta sistem pengairan yang telah menukarkan kawasan padang pasir menjadi kawasan tanah pertanian. Semasa pemerintahan Firaun Senuusret III, beliau telah membina sebuah tembok pengairan sepanjang 123 kilometer bagi menebus guna kawasan padang pasir dan membina terusan untuk mengairkan tanah seluas 10000 hektar. Pengetahuan dalam bidang astronomi dan matematik ini membolehkan orang Mesir Purba memperkenalkan sistem kalendar 365 hari berdasarkan 12 bulan dalam setahun.


Apabila Firaun Menes (3200 S.M.) berjaya menyatukan kesemua nome ini menjadi sebuah kerajaan, beliau telah mengasaskan pusat pentadbirannya di bandar Thinis yang terletak di bahagian tengah Sungai Nil. Selepas itu, pusat pentadbiran ini telah berpindah ke bandar Memphis yang hampir dengan delta Sungai Nil. Pada kemuncak Zaman Pertengahan pusat pentadbiran ini telah berpindah ke bandar Thebes. Selain itu, terdapat beberapa bandar penting yang lain seperti Helio polis, Fayoum dan Abydos. Kehidupan di bandar merupakan salah satu ciri yang sangat penting dalam tamadun Mesir kerana di sinilah tempat kediaman firaun, pusat oemerintahan dan pentadbiran, dan juga pelabuhan penting bagi tamadun ini. Selain itu, bandar juga merupakan pusat keagamaan dan pusat tumpuan penduduk.

Kehidupan berorganisasi dalam masyarakat Mesir Purba diketuai oleh firaun yang merupakan raha yang berkuasa mutlak serta dianggap suci. Jawatan firaun (raja Mesir) diwarisi secara turun-termurun. Pada zaman kerajaan lama, firaun dianggap sebagai jelmaan Tuhan Horus. Tetapi semasa pemerintahan dinasti ketiga dan keempat, firaun digelar sebagai Raja Matahari kerana dipercayai bahawa firaun ialah anak Tuhan Matahari, iaitu Amon-Re. Firaun juga merupakan ketua pendeta, pemilik tanah, ketua hakim, dan ketua pahlawan. Selepas firaun ialah golongan bangsawan, rahib, tuan tanah serta jurutulis. Ini diikuti dengan golongan rakyat bebas yang terdiri daripada petani, pedagang dan artisan. Lapisan yang terkebawah ialah hamba.


Sistem pemerintahan Mesir Purba diterajui oleh raja, iaitu firaun. Beliau dibantu oleh golongan bangsawan untuk menjalankan pentadbiran, menjaga keamanan, mengurus, dan mengagihkan penghasilan makanan di dalam negara. Golongan bangsawan ini merupakan pembesar yang terdiri daripada pengawai, penasihat, dan juga gabenor yang mentadbir wilayah yang ditakluki. Para rahib dipertanggungjawabkan untuk mentadbir hal keagamaan. Urusan pentadbiran ini juga turut dibantu oleh jurutulis yang terdiri daripada orang awam yang telah dilantik untuk menulis segala rekod kerajaan.



Tamadun Mesir Purba juga telah mengiktirafkan wanita sebagai pemimpin. Pada Zaman Empayar seorang wanita telah dilantik menjadi firaun, iaitu Firaun Hatshepsut (1501-1479 S.M.). Era pemerintahannya penuh dengan pembaharuan seperti pembinaan, terusan dan penukaran padang pasir kepada tanah pertanian yang subur. Keupayaan beliau membawa perubahan ini telah meletakkan beliau setanding dengan pencapaian firaun yang lain. Ini menunjukkan bahawa wanita dalam tamadun Mesir Purba mampu memerintah serta memiliki status yang tinggi. Kerajaan Mesir Purba juga merupakan kerajaan berbentuk empayar yang meliputi sebuah kawasan yang luas ternasuklah wilayah di Nubia di selatan Mesir hingga ke utara serta barat dan juga wilayah di sebelah Asia, iaitu wilayah di Palestin hingga ke Lubnan dan Syria.

Perkembangan aktiviti ekonomi turut mempengaruhi perkembangan tamadun awal Mesir Purba. Dengan wujudnya pengkhususan kerja seperti penenunan dan pembuatan barang tembikar dan juga peralatan, Mesir Purba telah berkembang maju. Eksport utama Mesir Purba ialah tekstil dan kertas. Antara aktiviti ekonomi lain yang dijalankan termasuklah perlombongan emas di kawasan Nubia. Pengangkutan di air memainkan peranan penting dalam tamadun Mesir Purba. Sungai Nil yang lebar dan dalam telah membolehkan kapal-kapal menyusurinya dan berlabuh di pelabuhan-pelabuhan seperti Thebes, Memphis, Fayoum dan Heliopolis. Sistem pemerintahan yang terancang telah berjaya menarik pedagang-pedagang dari Laut Mediterranean dan Laut Merah untuk singgah di pelabuhan Mesir Purba.

Orang Mesir Purba percaya kepada konsep politeisme. Setiap tuhan orang Mesir Purba selalu dikaitkan dengan unsur alam seperti Re (Tuhan Matahari), Ra-Atum (Tuhan Langit) dan Amun selepas mati. Oleh itu, mayat perlu disimpan dan dijaga dengan teliti. Makam mayat juga mesti dipenuhi dengan peralatan serta keperluan kehidupan selepas mati. Mayat tersebut diiringi barangan serta kelengkapan harian yang akan ditanam bersama-sama dengannya. Solekan mayat, alat kebesaran, dan jumlah barang yang dikebumikan di dalam makam menunjukkan kedudukan atau status mayat tersebut.

Tamadun Mesir Purba juga telah mempunyai sistem tulisan yang dikenali sebagai hieroglif. Sistem tulisan tamadun Mesir Purba ini berasaskan kombinasi gambat dan simbol yang berdasarkan bunyi. Sistem tulisan sangat penting dalam proses perkembangan tamadun Mesir Purba terutamanya untuk tujuan mencatatkan rekod aktiviti pertanian dan juga pengutipan cukai. Tulisan juga memainkan peranan penting dalam tamadun Mesir Purba untuk tujuan keagamaan dan amalan ritual kepercayaan. 


Proses Pembentukan

Manusia yang mendiami Lembah Nil telah pun mencapai tahap-tahap kebudayaan gangsa pada Zaman Logam sejak tahun 5000 S.M.. Penggunaan alat logam membolehkan mereka membina sistem perparitan dan pengairan yang baik untuk pertanian. Daya cipta ini membolehkan manusia yang mendiami lembah ini membina peralatan kawalan air dan terusan untuk meninggikan lagi nilai kesuburan tanah. Ini dilakukan untuk mendirikan petempatan tetap yang berteraskan pertanian. 

Petempatan tetap di sepanjang Lembah Nil ini berkembang menjadi perkampungan. Gabungan kampung-kampung ini telah mewujudkan beberapa buah bandar yang kemudiannya bergabung dan membentuk sebuah nome atau daerah. Kesemua nome ini kemudian telah disatukan dengan salah sebuah bandarnya menjadi pusat pentadbiran. Contohnya bandar Thinis, Memphis dan Thebes. 





Tamadun Mesir Purba berkembang daripada petempatan awal pada Zaman Neolitik, iaitu antara tahun 10000 S.M. hingga 5000 S.M.. Pada sekitar tahun 3500 S.M., wilayah di persekitaran delta serta di bahagian pertengahan Mesir ini telah berkembang menjadi pusat tamadun awal. Tamadun Mesir Purba ini dapat dibahagikan kepada empat. 


Tempoh peralihan antara keruntuhan sesebuah kerajaan dengan penubuhan kerajaan baru adalah lama.. Selepas melalui masa kegemilangannya pada Zaman Empayar, tamadun Mesir Purba telah mengalami zaman kejatuhannya apabila pemerintahannya dikuasai oleh orang asing seperti Libya (1100-947 S.M.), Kush (730-670 S.M.), Assyria (663-609 S.M.), Parsi (525 S.M.), Yunani (332-30 S.M.), dan akhirnya Rom pada tahun 30 S.M..






Tamadun Mesir Purba dianggap sebagai anugerah daripada Sungai Nil yang mengalir dari bahagian utara Mesir ke Laut Mediterranean. Di tebing sungai inilah lahirnya tamadun Mesir Purba. Sungai Nil ini berpunca daripada dua anak sungai, iaitu Sungai Nil Biru yang bermula dari tanah tinggi di Ethiopia dan Sungai Nil Putih yang bermula dari Tasik Victoria di Uganda. Limpahan air Sungai Nil Putih ke tanah yang gersang serta berpadang pasir telah berjaya menukarkan bentuk muka bumi Mesir kepada sebuah tanah dataran yang subur. Tanah lanar yang dibawanya pula berjaya membentuk sebuah delta yang subur untuk pertanian dan petempatan manusia.